Thursday, July 9, 2015

ANAK TINGGAL IBUBAPA DI HOSPITAL SEMATA-MATA UNTUK BERAYA

Mula-mula baca status UZAR tentang anak-anak yang sengaja hantar ibu ayah yang terlantar sakit kat hospital dan tinggalkan terus hingga raya saya macam susah nak percaya ada orang yang macam ni.

Yer la takkan sebab senang nak berjalan raya sampai kena buat macam ni. Sanggup tinggalkan orang tua di Hospital kemudian tidak menjenguk dah sehinggalah raya selesai. Bukan apa, Kita biasanya masa raya la nak dengan ibu ayah. Takkanlah tegar sekali hati si anak buat ibu ayah macam tu kan. Saya tidak memberi sebarang komen pada isu itu.

Dan semalam Allah tunjukkan pada saya memang perkara itu wujud. Seorang kawan saya di sini baru saja keluar dari wad. Kak K tidak serius pun, beliau masuk wad cuma untuk memudahkan prosedur pemeriksaan kesihatannya saja. Katanya, " Akak ok je sihat je dok kat wad tu, akak siap buat kerja kebajikan kat wad. Menyuapkan seorang makcik tua ni makan."
"Kesian betul, anak-anaknya takde seorang pun datang menjenguk. Kata nurse, hantar tak datang dah. Jenuh derang call waris."

Astaghfirullah. Kasihannya ibu tua itu. Sampainya hati si anak buat begitu. Sepenting manakah kerja sampai tidak sempat menjenguk ibu yang sedang sakit. Dan seorang kawan saya seorang nurse juga mengiyakan situasi begini bukan sesuatu yang asing. Sedih saya mengenangkannya. Lupakah si anak tangan berkedut itulah yang menyuapnya makan, tangan itulah yang memandikannya. Lupakah si anak syurga kita di bawah redhanya ibu. Lupakah si anak, pandang muka ibu pun dapat pahala, inikan pula menjaganya. Allahuakbar.

Isu anak tanggang bukan lagi dongeng, tidak perlu terlalu kaya untuk menjadi anak tanggang.
Apakah nanti nasib kita? Saya teringat Prof Muhaya pernah berpesan dalam satu siri di radio, "IBU-IBU TAK PERLU MENGHARAPKAN ADA ANAK-ANAK YANG AKAN JAGA KITA NANTI, TETAPI BERDOALAH AGAR ALLAH JAGA KITA SEHINGGA AKHIR HAYAT KITA."

Buat yang bergelar anak, tidak ada yang VIP YANG LEBIH PENTING DALAM HIDUP KITA. Ibubapa inilah insan terpenting, keramat hidup kita. derhaka pada mereka bukan hanya dibalas di akhirat nanti. Tetapi di dunia lagi Allah akan tunjuk. Tidak akan ada keberkatan dalam apa jua yang kita lakukan.

Sabda Rasulullah s.a.w sebagaimana dinyatakan oleh at-Tabrani, maksudnya: 
“Berbaktilah kamu kepada dua ibu bapa kamu agar anak-anakmu kelak akan berbakti kepadamu. Dan peliharalah dirimu daripada perzinaan agar isteri-isterimu memelihara diri nya.” 

Dan dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:
 “Sebesar-besar (daripada) dosa besar adalah menyekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka kepada ibu bapa dan menjadi saksi palsu.”

“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”
(Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Saya mengingatkan diri saya sendiri, jagalah ibubapa sepertimana mereka menjaga kita di waktu kecil. Jadilah anak yang berbakti kepada mereka, kerana merekalah syurga kita. Yang tidak akan ada gantinya. Jagalah mereka, berikan perhatian dan masa ketika mereka sakit dan berilah makanan kesihatan terbaik untuk mereka. Tanpa mereka tidak akan ada kita seperti hari ni.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...